1. Dengan rasa bangga dan gembira, sukacita saya umumkan, melalui pra pelancaran hari ini, penganjuran Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LlMA) secara rasminya akan dianjurkan pada 23 Mei hingga 27 Mei 2023 di Pulau Langkawi. LIMA tertunda sejak tahun 2021 disebabkan pandemik COVID-19 dan keputusan supaya ia dapat dianjurkan kembali ialah berdasarkan aspek kejayaan penganjuran Defence Services Asia (DSA) pada Mac lalu serta kebersediaan negara selepas memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.
2. Edisi 2023 bakal menjadi LIMA yang paling ditunggu-tunggu dan disebut-sebut bukan sahaja oleh Malaysia selaku penganjur, tetapi juga para pempamer, delegasi-delegasi antarabangsa dan orang awam memandangkan kali terakhir ia diadakan pada tahun 2019.
3. Mengambil kira maklum balas semasa yang Malaysia terima dari rakan-rakan antarabangsa setakat ini, dijangka berlaku peningkatan seterusnya berpotensi menjadikan jumlah pempamer, astaka negara terlibat, pelawat perdagangan dan awam, tetamu serta aset di LIMA 2023 sebagai yang terbesar pernah direkodkan. Secara gambaran awal, jangkaan statistik ialah seperti berikut:-
i. Jumlah pempamer (syarikat) : 600
ii. Astaka Negara Terlibat : 20
iii. Pelawat Perdagangan/Awam : 45,000/238,000
iv. Tetamu luar negara : 380 (41 negara)
v. Pesawat / aset udara : 110
vi. Kapal / aset maritim : 110
4. Ini sekaligus menjadi medan terbaik bagi syarikat-syarikat industri pertahanan dari seluruh dunia khususnya berkaitan aeroangkasa dan maritim untuk kembali bertemu secara bersemuka selepas lama tidak berpeluang melakukannya akibat pandemik COVID-19 dan penangguhan LIMA 2021. Ini secara langsung juga dapat membuka lebih peluang dalam usaha menghubung dan mempromosikan kerjasama strategik antara syarikat industri pertahanan tempatan dengan antarabangsa selari dengan matlamat Dasar Industri Pertahanan Negara yang sedang dirangka ketika ini.
5. Lebih mengujakan, terdapat beberapa pembaharuan yang bakal dapat disaksikan di LIMA 2023. Antaranya, memperkenalkan segmen pertunjukan dron dan perlumbaan dron, menampilkan segmen teknologi angkasa, Forum CEO Syarikat Penerbangan, program menyeluruh untuk remaja termasuk berkaitan pendidikan, kerjaya serta pertandingan permainan elektronik (egames), dan segmen wanita dalam pertahanan. Ini tidak termasuk segmen keselamatan siber dalam industri penerbangan serta maritim dan semestinya pameran aset serta pertunjukan udara yang terbaik dalam sejarah.
6. Namun seperti saya selalu tekankan, perancangan sahaja tidak mencukupi. Yang penting ialah pelaksanaan. Justeru, demi memastikan kelancaran LIMA 2023, penganjurannya akan sekali lagi diselaraskan bersama oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Pengangkutan Malaysia. Manakala Syarikat Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd pula telah dilantik sebagai penganjur bersama LIMA 2023.
7. Tidak sekadar itu, saya bersama Menteri Pengangkutan, YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong akan memastikan setiap aspek persiapan diteliti dan diperincikan dengan sebaik mungkin sekaligus dapat dirasai impaknya semasa hari penganjuran sebenar nanti.
8. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada penganjur dan semua pihak yang terlibat dalam LIMA 2023. Semoga acara ini sekali lagi dapat mengharumkan nama Malaysia dan Jalur Gemilang di persada dunia. InsyaAllah.
YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
MENTERI KANAN PERTAHANAN
8 JUN 2022
Comments