top of page

Sandiwara Anwar Untuk Bentuk Kerajaan Drama Lapuk

1. Merujuk kenyataan Anwar Ibrahim semalam kononnya beliau bakal membentuk Kerajaan baru; ia bukan perkara baru dan mengejutkan. Propaganda seumpama ini sudah dilakukan Anwar berkali-kali. Ia pernah dilakukan pada April 2008, September 2008, Februari 2020 dan terbaru semalam, September 2020. Kalau betul sudah memperolehi sokongan hampir 2/3 Dewan Rakyat, beritahulah kepada umum, berapa orang Ahli Parlimen yang menyokong dan dedahkanlah siapa Ahli Parlimen UMNO yang berpaling tadah.


2. Anwar sepatutnya malu. Di saat negara masih berperang dengan wabak Covid-19, beliau tergamak membuat perancangan menukar Kerajaan. Sedikitpun tidak mengendahkan kebimbangan rakyat sebaliknya hanya memikirkan kepentingan peribadi yang mahu berkuasa sebagai Perdana Menteri. Cukup-cukuplah. Rakyat sudah penat dengan semua sandiwara ini. Sudah lebih 20 tahun negara terpaksa melalui krisis politik hanya kerana Anwar Ibrahim hendak menjadi Perdana Menteri. Ia langsung tidak menguntungkan negara.


3. Secara peribadi, UMNO tidak perlu layan propaganda Anwar Ibrahim. Saya melihat tujuan sidang media semalam adalah untuk mengalihkan perhatian khususnya menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah beberapa hari lagi. Ia seolah-olah ingin mengelirukan dan menanam rasa bimbang rakyat terhadap kestabilan Kerajaan Persekutuan.


4. UMNO mesti berwaspada dengan taktik Anwar dan sedar bahaya menyokong Anwar. Ini kerana, ia hanya akan membuka peluang kepada DAP untuk lebih berkuasa di negara ini seterusnya membawa mudarat kepada kepentingan agama, bangsa dan negara yang kita perjuangkan selama ini.


5. Apa jua yang diumumkan oleh Anwar Ibrahim semalam, perkara paling penting untuk parti ialah fokus kepada usaha memenangi PRN Sabah. Jentera UMNO dan Barisan Nasional telah berpenat-lelah dan berjuang selama berminggu berkempen demi memenangkan calon-calon kita. Jangan rencatkan usaha, menganggu fokus dan mematahkan semangat mereka dengan kenyataan yang boleh menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ahli UMNO dan jentera Barisan Nasional.


6. Pendirian saya teguh dan jelas – apabila saya mengambil keputusan untuk menyertai kabinet ini, ia berdasarkan prinsip dan sokongan penuh terhadap YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui tampuk kepimpinan negara.


7. Rakyat sudah cukup terbeban dengan isu ekonomi dan Covid-19. Ada yang dibuang kerja, dipotong gaji, tidak dapat pulang jumpa anak isteri berbulan-bulan. Malah, ada yang kehilangan ahli keluarga akibat wabak ini. Jangan kita tambah lagi beban mereka dengan isu-isu politik. Kita juga perlu ingat, sekiranya situasi politik negara berterusan tidak stabil, usaha yang dilaksanakan Kerajaan demi rakyat selama beberapa bulan ini akan menjadi sia-sia.


8. Sejak kemelut politik ini bermula, ramai rakan pemimpin luar negara menzahirkan kebimbangan terhadap situasi di negara ini, terutama dalam konteks Covid-19. Kemelut ini memang tidak membantu mencerminkan imej sebenar negara di mata dunia apatah lagi di saat Kerajaan sedang berusaha menjalinkan pelbagai bentuk kerjasama terutama demi memerangi Covid-19 dan memulihkan ekonomi tempatan dengan rakan-rakan negara.


9. Apa jua ketidaktentuan ini, semua anggota Jemaah Menteri dan Ahli-ahli Parlimen Kerajaan mesti beri sokongan padu kepada Perdana Menteri. Jangan kita menjadi anggota penting Kerajaan, menikmati kelebihan yang diperolehi tetapi pada masa yang sama tidak menyokong kepimpinan. Ini mesti menjadi peringatan oleh semua Menteri, Timbalan-timbalan Menteri dan Ketua-ketua GLC yang dilantik.


10. Bagaimanapun, jika ada anggota Kerajaan yang bertekad sudah tidak mahu menyokong kepimpinan Kerajaan sedia ada, eloklah berundur dari Kerajaan. Kita harus tumpu usaha membina semula negara bukan sandiwara politik yang merugikan.


Hishammuddin Hussein

Ahli Parlimen Sembrong

Ketua UMNO Bahagian Sembrong


24 September 2020

Comentários


bottom of page